Siaran luar Kool 101 semarakkan lagi ABPBH 37
KUALA LUM[UR: Sebagai tanda sokongan dan bagi memeriahkan pengumuman kelompok Top 10 calon akhir Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37, jenama radio popular di bawah Media Prima Audio (MPA), Kool 101, menganjurkan siaran luar rancangan Pagi On Point di restoran Nasi Lemak Saleha, Ampang, di sini, semalam.
Suasana pagi itu cukup meriah dengan gelak tawa penyampai Haiza dan Muaz, yang menghiburkan pendengar serta pelanggan menerusi pelbagai segmen interaktif.
Turut memeriahkan acara, calon akhir Pengacara TV Popular ABPBH 36, Uyaina Arshad, yang hadir memberi sokongan menjelang malam kemuncak anugerah berprestij itu tidak lama lagi.
Lebih istimewa, siaran luar ini turut diadakan bersempena kejayaan Haiza menembusi senarai Top 10 Penyampai Radio Popular ABPBH 37.
Menurut Ketua Kandungan Kool 101, Ainul Farhana Razali, program itu bukan sekadar peluang mendekati pendengar, tetapi juga medan untuk menyemarakkan semangat menjelang malam anugerah.
"Haiza bersama Kool 101 sejak 2016 dan saban tahun menampilkan prestasi konsisten. Kami mahu menaikkan lagi namanya kerana usaha dan kerja kerasnya wajar dihargai," katanya.
Ainul menambah, kempen ini turut dijadikan simbol sokongan moral kepada seluruh penyampai Kool 101.
"Kempen Biar Malaysia Dag Dig Dug #UndiHaizaForABPBH ini kami buat secara besar-besaran untuk menghargai peminat dan usaha Haiza sendiri. Selain itu, kami juga menyokong rakan lain seperti Muaz yang turut tercalon pada peringkat awal," katanya.
Ainul berkata, siri siaran luar seterusnya akan diadakan di Restoran Hartini, Shah Alam pada 24 Oktober ini sebagai kesinambungan kempen berkenaan.
Katanya lagi, pasukan Kool 101 turut aktif mempromosikan ABPBH 37 di media sosial bagi meningkatkan kesedaran dan jumlah undian calon akhir.
"Walaupun siaran kami kini lebih banyak dalam talian, kami tetap turun padang dan hasilkan kandungan khas di media sosial untuk menyokong ABPBH 37," katanya.
Sementara itu, Haiza, 45, atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, mengakui terharu atas penghargaan dan semangat ditunjukkan rakan sepasukan di Kool 101.
"Saya segan sebenarnya mahu berkempen, tapi saya bangga melihat kesungguhan pasukan. Mereka 'all out' bantu saya, walaupun saya anggap diri ini kecil dalam dunia penyiaran," katanya.
Tambah Haiza, rakan setugasnya Muaz dan Uyaina turut banyak memberikan dorongan dan nasihat dalam menjayakan kempen kali ini.
"Uyaina kata, kalah atau menang bukan ukuran. Yang penting, usaha dan semangat kita dalam kempen itu sendiri," ujarnya.
Haiza berkata, peluang beramah mesra dengan pendengar dalam acara seperti ini amat bermakna kerana dapat menghargai sokongan peminat setia sepanjang hampir sedekad bergelar penyampai radio.
"Saya seronok dapat turun padang. Bagi saya, inilah masa terbaik menghargai mereka yang banyak menyokong saya dan Kool 101 selama ini," katanya.
Selain Haiza, antara penyampai radio lain yang turut membolosi kelompok Top 10 Penyampai Radio Popular ABPBH 37 ialah Khairy Jamaluddin (KJ), AG, Fara Fauzana, DJ Lin, Cik Piah, DJ Sonic, Johan, Radin dan Sharifah Shahirah.
Khamis lalu, penganjur ABPBH 37 mengumumkan fasa undian kelompok Top 10 calon akhir bagi 16 kategori utama dan lima kategori sampingan Ekstra!, dibuka mulai 16 Oktober hingga 17 November 2025.
Untuk kali pertama dalam sejarah penganjuran, format Top 10 diperkenalkan bagi memberi ruang lebih luas kepada peminat menyalurkan undian untuk artis pilihan masing-masing.
Komentar
Posting Komentar