Hadir Trump titik pengaruh Malaysia keluar kepompong lama negara kuasa sederhana

 Kehadiran Trump dilihat penting dan positif dalam memberikan ruang secara langsung kepada Malaysia dan ASEAN untuk terus melonjak serta mencorak lembaran baharu.

Kehadiran Trump dilihat penting dan positif dalam memberikan ruang secara langsung kepada Malaysia dan ASEAN untuk terus melonjak serta mencorak lembaran baharu.

SIDANG Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini di Kuala Lumpur disifatkan sebagai amat penting bukan sahaja kepada Malaysia, bahkan rantau Asia Tenggara selepas beberapa pemimpin utama dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersetuju menghadirinya.

Persetujuan Trump hadir sidang kemuncak ini menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak terutama menolak kemunculan sosok tubuh itu ke negara ini kerana AS diketahui sekutu utama Israel yang agresif menyerang Gaza dan Palestin sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa orang awam.

Namun, Trump bakal menjadi Presiden AS ketiga menjejak kaki ke Malaysia selepas Presiden Lyndon B Johnson pada 1966 dan Barrak Obama pada 2014 serta 2015. Di sebalik bantahan kehadiran Trump ke Malaysia, ia juga dilihat sebagai peluang besar Malaysia serta ASEAN menyuarakan 'rasa hati' mereka terhadap pelbagai perkara berkaitan isu diplomatik, keselamatan dan perdagangan antarabangsa.

Wartawan BH Ahad, Ilah Hafiz Aziz menemubual Penganalisis Hubungan Luar, Keselamatan dan Strategi Universiti Malaya (UM), Collins Chong Yew Keat berhubung kepentingan kehadiran Trump ke Kuala Lumpur kali ini serta perbandingannya dengan Johnson serta Obama sebelum ini.

Soalan (S): Apakah faktor strategik mendorong Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN 2025?

Jawapan (J): Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia perlu menjemput semua rakan dialog termasuk AS. Ini mencerminkan strategi hubungan diplomatik dan diplomasi menyeluruh bagi memajukan agenda keamanan bukan sahaja di Gaza tetapi juga konflik lain termasuk di Myanmar. Sidang kemuncak ASEAN platform kritikal bagi memastikan fokus berterusan Washington terutama di bawah kepemimpinan Trump kepada rantau ASEAN ini khasnya 'kewujudan kuasa besar' dan hubungan ekonomi di rantau ini susulan pelaksanaan tarif baharu AS.

Kehadiran Trump akan mengangkat darjat, wibawa dan kepemimpinan Malaysia menerajui ASEAN serta kebolehan untuk terus memainkan peranan sebagai perunding cara dan meredakan persaingan kuasa kian meruncing di rantau ini, terutama dalam kebolehan memelihara keamanan dan kestabilan serantau berasaskan dialog, diplomasi dan rundingan dengan kuasa besar dan kuasa sederhana. Trump mempunyai kuasa langsung dan menyeluruh untuk memastikan keselamatan di rantau ini terjamin dan keamanan dan keselamatan global dapat dilindungi.

Collins Chong Yew Keat.
Collins Chong Yew Keat.


S: Sejauh mana pentingnya kehadiran Trump untuk membantu Malaysia dan ASEAN mempengaruhi dasar luar AS terhadap isu Palestin?

J: Sangat penting ia akan membantu Malaysia menyatakan pendirian serantau secara konsisten, kolektif dan tegas dalam mempertahankan hak Palestin seterusnya menuntut pengiktirafan Palestin sebagai negara sah dan berdaulat serta menghentikan keganasan dan penderitaan di Gaza. Kehadiran Trump dilihat sebagai satu mesej daripada beliau sendiri bahawa rantau ini kekal penting dalam usaha mengekalkan kepentingan ekonomi, rantaian bekalan, sektor baharu teknologi dan mineral kritikal. Ia termasuk dalam isu keselamatan dan pertahanan, mempertahankan kedaulatan negara, undang-undang antarabangsa dan maritim serta hak sah wilayah serantau dan negara ASEAN. Ini menjadi isu strategik dan kritikal terutama kepada Malaysia sebagai negara maritim bersandarkan kepada perdagangan dan kestabilan serantau.


S: Kehadiran Trump tetap dibantah sesetengah pihak terutama mereka yang bersolidariti kepada Gaza?

J: Harus diingat, kehadiran Trump juga membuka peluang kepada Malaysia menyatakan diplomasi dan pendirian langsung negara serta rantau ini untuk mendesak perdamaian kekal di Gaza dan melindungi hak Palestin. Pelan damai dicetuskan Trump bagi menamatkan keganasan Israel di Gaza menjadi faktor kritikal penentu sama ada lawatan ini menjadi landasan positif dan penting kepada Malaysia serta ASEAN untuk terus memainkan peranan langsung dan lebih mendalam dalam pelan damai ini, terutamanya dalam pasca gencatan senjata di Gaza ketika ini.

Justeru, kehadiran Trump dilihat penting dan positif dalam memberikan ruang secara langsung kepada Malaysia dan ASEAN untuk terus melonjak serta mencorak lembaran baharu aspek ekonomi, pasaran, tarif, teknologi dan sokongan keselamatan serta ketenteraan diberikan Washington. Kesemua ini bergantung pada insentif boleh ditawarkan ASEAN dan Malaysia untuk membentuk semula jaringan perdagangan dan tarif lebih adil bagi kedua-dua pihak,


S: Tidakkah keputusan menjemput Trump seperti sengaja mendedahkan negara kepada risiko kebencian global?

J: Kita kena sedar Trump mempunyai kuasa dan pengaruh tertinggi bagi memastikan kedamaian di Gaza dan memastikan hak Palestin dijaga. Kehadirannya memberikan peluang tertinggi kepada Malaysia dan rantau ini menuntut kepentingan itu dilindungi dan dipertahankan secara tegas tanpa kompromi, tanpa menjejaskan kepentingan negara, selain memastikan hubungan AS-Kuala Lumpur diperkasa dan tidak terjejas.

AS sebagai kuasa ekonomi dan ketenteraan mampu memberi jaminan pertahanan terpenting bagi Malaysia selain kepentingan dari segi pasaran, ekonomi, teknologi, ketenteraan demi menjamin kepentingan serta keperluan ekonomi, keselamatan negara dan rantau. Ia mesti dipelihara dan tidak boleh dipertaruhkan. Namun ketegasan pendirian Malaysia terhadap Palestin tidak terabai. Ini memang tidak dikorbankan Kuala Lumpur. Menjemput Trump hadir atas platform sidang kemuncak ASEAN menonjolkan ketrampilan dan kebolehan Malaysia mengemudi rantau ini mengharungi cabaran ekonomi, geopolitik dan keselamatan serantau tatkala persaingan antara kuasa besar semakin meluas.

Jemputan ini menaikkan darjat dan pengaruh Malaysia untuk keluar daripada kepompong lama sebagai negara kuasa sederhana dan boleh merapatkan jurang persaingan kuasa serta wibawa serantau dengan negara jiran. ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia dilihat kritikal bagi memastikan blok serantau tidak terikat kepada kekangan konvensional silam, sebaliknya mampu memainkan peranan lebih mendalam dalam isu global.


S: Apakah perbezaan objektif kerajaan menjemput Trump dan Obama?

J: Lawatan Obama pada 2014 dan 2015 menjadi perintis kepada menaik taraf hubungan selepas jurang 1966-2014 dan fokus untuk memperkasa agenda TPP, hak asasi dan tadbir urus serta menyelaras tindak balas dan sokongan serantau dalam agenda Asia Pasifik dan Laut China Selatan. Lawatan Trump kali ini bertujuan memberikan mesej jelas mengenai perbezaan ketara dasar dan hala tuju Washington di bawah pentadbiran Trump, yang tidak lagi terikat dengan cara dan pendekatan konvensional liberal bekas presiden sebelumnya.

Bagaimanapun, kehadiran Trump tidak akan mengubah pendirian Malaysia memperjuangkan hak Palestin, malah akan menjadi pentas lebih berkesan bagi memastikan pelan damai Gaza dilaksanakan secara adil dan menyeluruh, memastikan hak Palestin dikekalkan, bukan bersifat sementara. Terpulang kepada Perdana Menteri untuk menyatakan pendirian Kuala Lumpur dan berunding dengan Trump nanti.


Johnson bersama Yang di-Pertuan Agong Keempat, Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman ketika melawat Malaysia pada 1966. - Foto ihsan Kedutaan AS
Johnson bersama Yang di-Pertuan Agong Keempat, Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman ketika melawat Malaysia pada 1966. - Foto ihsan Kedutaan AS

Johnson, Obama ke Malaysia bawa dasar luar AS berbeza

Soalan (S): Sejauh mana lawatan Presiden Lyndon B Johnson ke Malaysia pada 1966 mencerminkan strategi geopolitik Amerika Syarikat (AS) pada era Perang Dingin di rantau ini?

Jawapan (J): Lawatan Johnson ke Kuala Lumpur pada 1966 berlaku ketika Washington membina 'perimeter anti-komunis' di Asia Tenggara, berdasarkan strategi untuk membendung penularan ideologi komunisme pada kemuncak Perang Dingin. AS memerlukan legitimasi, pengaruh dan sokongan serantau dalam kempen perang Vietnam dan mahu memperkukuh negara baharu dilihat sebagai 'rakan mesra' seperti Malaysia ketika pasca-konfrontasi Indonesia.

Ucapan dan acara rasmi Johnson menekankan solidariti dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman waktu itu dan pujian terhadap kestabilan Malaysia, suatu naratif dan pendekatan konvensional ketika era Perang Dingin untuk menunjukkan barisan negara 'mesra Barat' dalam menghadapi tentangan komunisme.


S: Apakah kepentingannya kepada Malaysia dan AS kerana ketika itu berlaku Perang Vietnam serta pengaruh komunisme mulai meluas di Asia Tenggara?

J: Bagi AS, kehadiran Johnson berfungsi sebagai isyarat ketahanan politik dan sokongan mempamerkan rakan serantau komited mengekang komunisme. Namun bagi Malaysia, ia penting membantu pemulihan pasca-konfrontasi dan memperkukuh jaringan serta usaha benteng anti-komunisme, yang mana peranan Washington menjadi nadi utama mengekang ancaman komunisme di rantau ini. Lawatan itu membuka ruang bantuan ekonomi dan ketenteraan serta akses politik secara terus ke Washington. Pada jangka masa itu, keutamaan Tunku Abdul Rahman adalah memastikan kestabilan serantau, isu harga getah dan sokongan Barat. Semua ini cukup relevan kepada daya tahan ekonomi dan politik Malaysia ketika itu.

Kehadiran Johnson juga satu pengiktirafan kepada negara dan memperkukuh benteng negara menghadapi ancaman komunisme. Reaksi awam bercampur-baur kerana terdapat sambutan rasmi yang baik dan hangat daripada kerajaan, tetapi berlaku demonstrasi anti-AS kerana mencetus perang Vietnam dan penonjolan hegemoni Barat. Namun pendekatan pro-Barat tanpa mengorbankan prinsip berkecuali Kuala Lumpur tetap menjadi keutamaan walaupun bersifat pro Barat ketika itu.


S: Barack Obama menjadi Presiden AS kedua datang ke Malaysia, bukan sekali tetapi dua kali iaitu pada 2014 dan 2015. Apakah signifikannya waktu itu?

J: Obama menjadi Presiden AS pertama selepas Johnson berkunjung ke Malaysia dua kali. Selepas 2014, beliau kembali kali kedua pada 2015 untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur. Kehadiran beliau membentuk hala tuju baharu terhadap hubungan Washington-Kuala Lumpur yang agak hambar sebelum itu. Fokus utama pada masa itu adalah pengukuhan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), satu inisiatif era Obama serta keselamatan maritim, pendidikan dan belia (YSEALI) termasuk pengukuhan hubungan dua hala. Kenyataan bersama 2014 merakam kemajuan TPP serta kerjasama luas.

Pada lawatan 2015, Obama menegaskan isu tadbir urus dan masyarakat sivil di rantau ini, selari dengan pendekatan berasaskan nilai demokrasi, hak asasi manusia dan tadbir urus yang baik serta anti rasuah.

Obama bersama Yang di-Pertuan Agong Kelima, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ketika melawat Malaysia pada 2014. - Foto fail NSTP
Obama bersama Yang di-Pertuan Agong Kelima, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ketika melawat Malaysia pada 2014. - Foto fail NSTP


S: Sejauh mana lawatan Obama memberi impak kepada dasar berkenan kepada Malaysia?

J: Obama menyuarakan kebimbangan mengenai tadbir urus dan pentingnya masyarakat sivil, serta kepentingan untuk memelihara hak asasi manusia dan kebebasan asasi terutama ketika lawatan kedua pada 2015. Pada masa sama, Malaysia dilihat Obama sebagai rakan penting dalam kerangka diplomatik rantau Asia Pasifik. Beliau juga cuba memberikan tekanan dan gambaran fokus Washington mempertahankan kepentingan hak asasi manusia dan demokrasi, dilihat memberi impak dan mesej berangkai kepada negara serantau lain berpaksikan nilai demokrasi, kebebasan dan tadbir urus baik sebagai tunjang utama selari dengan peranan Washington di bawah Obama. Ini dilihat sebagai naratif bertentangan terhadap pendekatan dan konsep China ketika pengaruh Beijing semakin menular di rantau ini.


S: Benarkah kehadiran Obama waktu itu meredakan tekanan antarabangsa terhadap kerajaan Malaysia terutama dalam isu pemerdagangan manusia?

J: Kontroversi Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2015 menyaksikan Malaysia dinaik taraf daripada Tier 3 ke Tier 2 Senarai Pemantauan ketika perbahasan TPP memuncak. Ada pemerhati menuduh Washington 'melembutkan' penilaian untuk Malaysia demi memudahkan agenda perdagangan. Begitu juga kritikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media berterusan, tetapi lawatan Obama membantu mengekalkan hubungan baik, sokongan dan pengiktirafan terhadap usaha Malaysia membanteras isu pemerdagangan manusia. Ini mendorong komitmen penambahbaikan dan tekanan untuk kerajaan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika itu untuk menumpukan isu ini. Ia demi memberikan mesej positif kepada Obama segala isu berkenaan akan ditangani bagi memelihara hubungan penting dengan Washington dan dengan Obama secara individu.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Apa 15 idiom keren yang wajib diketahui?

VIRAL PADA MASANYA!!! Tragedi Kecelakaan Maut Bus Madu Kismo 2015

Ilmu pengetahuan itu tidak mengenal mana yang baik dan mana yang jahat.