Langsung ke konten utama

5 jalan utama tutup berperingkat bermula 26 Oktober sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

 Gambar hiasan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Enam lebuh raya dan 25 jalan utama akan ditutup secara berperingkat bermula 26 hingga 28 Oktober ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Enam lebuh raya itu adalah Lebuhraya ELITE (KLIA-Putrajaya); Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) (Subang-Jalan Duta); Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE); Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) (Sungai Buloh-Jalan Duta); Lebuhraya Maju (MEX); Lebuhraya KL-Seremban (Sungai Besi-Pusat Bandar).

Sidang Kemuncak ASEAN: Lencongan dan penyuraian jalan 17-28 Oktober 2025. - Grafik BERNAMA
Sidang Kemuncak ASEAN: Lencongan dan penyuraian jalan 17-28 Oktober 2025. - Grafik BERNAMA

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pihaknya akan menempatkan 1,111 petugas trafik membabitkan 91 pegawai dan 1,020 anggota sepanjang persidangan berlangsung.

Katanya, penugasan dijalankan termasuk mengiringi kenderaan orang kenamaan, mengawal lalu lintas dan menguatkuasakan undang-undang jalan raya sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 berlangsung.


"Bagaimanapun, raptai pergerakan motoked membabitkan laluan dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang ke hotel penginapan di sekitar Kuala Lumpur (KLCC) dan Seri Negara akan bermula hari ini hingga 24 Oktober.

"Malaysia pula akan mula menerima kehadiran delegasi bermula 25 hingga 28 Oktober yang mana penutupan jalan secara berperingkat dan lencongan jalan membabitkan enam lebuh raya serta 25 jalan utama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Amanat Pengarah JSPT di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna tidak melalui laluan terbabit dengan penutupan atau lencongan dan menggunakan jalan alternatif bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Selain itu, katanya, pengguna jalan raya juga perlu merancang perjalanan dengan lebih awal, patuhi arahan petugas trafik yang bertugas di lokasi dan digalak menggunakan pengangkutan awam seperti monorel, LRT, MRT dan bas.

"Bagi petugas dan pihak media yang terbabit pula, jika perlu tunjukkan pas pekerja namun pastikan datang lebih awal untuk mengelak kesesakan jalan raya," katanya.

Sementara itu, beliau menasihati pegawai dan anggotanya peka dengan keadaan kesihatan susulan kes penularan jangkitan influenza yang semakin membimbangkan.

"Jika rasa tidak sihat sepanjang penugasan, dapatkan rawatan dan kita gantikan dengan anggota lain," katanya.

Ditanya kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengatakan pusat bandar Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Mohd Yusri berkata, ia adalah secara keseluruhan.

"Mesyuarat kali ini membabitkan pemimpin negara besar termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, jadi PDRM akan menjalankan tanggungjawab mengawal, menjaga keselamatan dan kesesakan jalan raya.

"Dari segi penugasan JSPT pula akan membuat penyuraian trafik dan penutupan berkala bagi memudahkan delegasi bergerak dari tempat penginapan ke KLCC atau KLIA.

"Jadi, sepanjang tempoh berkenaan, orang ramai diminta memberi kerjasama dan mendapatkan maklumat terkini bagi mengelak kesesakan jalan," katanya.

Semalam, media melaporkan pusat bandar raya Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 minggu depan.

Mohamad dilaporkan berkata, polis akan berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi dari 23 hingga 28 Oktober.

Katanya, polis akan menggerakkan kira-kira 16,000 anggota dari seluruh negara, khususnya dari negeri bersempadan dengan Kuala Lumpur, bermula 23 Oktober bagi membantu dan melancarkan aliran trafik.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Apa 15 idiom keren yang wajib diketahui?

VIRAL PADA MASANYA!!! Tragedi Kecelakaan Maut Bus Madu Kismo 2015

Ilmu pengetahuan itu tidak mengenal mana yang baik dan mana yang jahat.